SENARAI HITAM PTPTN KINI BOLEH BELI RUMAH
PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) kini berpeluang untuk memiliki rumah pertama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, golongan terbabit akan dikeluarkan daripada senarai berkenaan dan dikecualikan daripada sekatan sekiranya mereka mempunyai hasrat untuk membeli rumah.
Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan oleh kementeriannya secara lanjut pada majlis Pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober nanti.
“Saya sudahpun mengadakan perbincangan bersama pihak PTPTN pada bulan lalu dan perkara terbabit juga dipersetujui oleh pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.
“Usaha ini adalah satu langkah bagi membantu melayakkan peminjam yang disenarai hitam untuk membeli rumah buat kali pertama.
“Bagaimanapun, tujuannya adalah untuk pembelian rumah saja, kereta tidak boleh,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Hi HOME di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, PTPTN menguatkuasa sekatan terhadap peminjam culas yang tidak membayar pinjaman dan mereka tidak layak untuk membuat sebarang pinjaman di bank.
Zuraidah berkata, butiran selanjutnya akan diumumkan pada Oktober depan dalam satu majlis bersama-sama dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Pada majlis itu nanti, saya akan umum secara rasmi semua skim perumahan untuk belia, termasuklah pakej perumahan untuk pembeli rumah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
“Pengecualian berkenaan juga akan dimasukkan di bawah Skim Perumahan Belia,” katanya.
.
sumber : mymetro