News Detail

Ketahui 15 Tips Ini Sebelum Beli Rumah Teres

Tanyalah mana-mana rakyat Malaysia, beli rumah teres pasti akan menjadi matlamat rumah nombor satu. Walaupun pemaju semakin banyak membina rumah high-rise, permintaan terhadap rumah teres masih lagi kekal tinggi. Terutamanya daripada pembeli rumah yang sudah berkeluarga.

Tapi masa beli rumah teres, ramai orang tak tahu tips-tips memilih unit terbaik. 

Ada yang main pilih sahaja. Kenapa pilih unit tersebut pun, tak tahu. Yang penting rumah teres, katanya. Kalau tak ada pilihan lain, perkara ini mungkin boleh dimaafkan. 

Tapi kalau anda ada pilihan, sila baca 15 tips di bawah sebelum beli rumah teres ya?


1 : Pilih unit yang tak ada rumah lain di depan

Jika boleh dan berkemampuan, anda digalakkan untuk memilih unit rumah teres yang tak ada rumah lain di depan. Contohnya rumah teres yang hadapannya ada tanah lapang, taman atau sempadan. Biasanya unit rumah sebegini memang sedikit mahal. Tapi ruang yang luas di depan rumah anda akan memudahkan tetamu anda untuk parkir. 

2 : Pilih unit yang jauh dari jalan utama

Kalau boleh, pilih unit rumah yang berjauhan daripada jalan utama yang sibuk dengan kenderaan. Lain ceritanya kalau kita beli shoplot. Seboleh-bolehnya kita nak shoplot kita dekat dengan jalan utama.

3 : Pilih taman perumahan yang jauh dari laluan utama

Sebelum buat keputusan beli, kaji dahulu jalan-jalan yang menjadi laluan utama masuk dalam taman perumahan anda. Elakkan membeli rumah di taman perumahan yang berdekatan dengan jalan utama yang sibuk dengan kenderaan. Takut keselamatan anak-anak kita terancam dengan kenderaan yang lalu-lalang.

4 : Ada hanya satu jalan keluar masuk

Benda ini penting kerana ia menjamin keselamatan rumah teres yang anda beli. Taman perumahan yang ada banyak jalan keluar masuk memudahkan akses penjenayah dan menyukarkan usaha sekuriti menjaga keselamatan.

5 : Elak pilih unit yang menghadap arah barat

Matahari terbenam di arah barat. Jika rumah anda menghadap arah barat, dikhuatiri ia akan jadi panas akibat pancaran matahari sebelah tengah hari dan petang. Bila rumah semakin panas, semakin tinggilah bil elektrik anda. Sebaiknya pilih rumah yang menghadap arah utara atau selatan.

6 : Elak pilih unit yang dekat dengan sub-stesen TNB

Anda mungkin pantang duduk rumah yang dekat dengan pencawang atau sub-stesen TNB. Mungkin risau dengan risiko kerosakan jika ia meletup (walaupun ia jarang berlaku). Ada juga yang risau dengan risiko pendedahan gelombang elektromagnet (EMF). 

Jika anda tak ada pantang ini (kerana tahu tiada bukti konklusif kaitan EMF dan kesannya terhadap kesihatan), anda boleh pilih unit yang berdekatan dengan fasiliti TNB tersebut.

7 : Elak pilih unit berdepan dengan simpang

Biasanya rumah yang berdepan dengan simpang akan lebih terdedah dengan kesibukan trafik dari pagi sampai malam. Kesibukan trafik ini juga akan menyebabkan rumah anda lebih terdedah kepada pencemaran bunyi, asap dan debu.

8 : Mempunyai kawalan sekuriti 24 jam

Tak dinafikan, taman perumahan yang dilengkapi dengan kawalan sekuriti 24 jam lebih selamat. Faktor ini sangat penting kerana kadar jenayah semakin meningkat setiap tahun – lebih-lebih lagi di kawasan pinggir bandar. Selain itu kehadiran sekuriti turut akan menaikkan nilai rumah pada jangka masa yang panjang.

9 :Kemudahan clubhouse

Kebelakangan ini semakin banyak pemaju membina kemudahan sampingan seperti clubhouse, kolam renang dan lain-lain di taman perumahan. Kemudahan ini mungkin membuatkan rumah jadi mahal, tapi ia menjamin nilai rumah kekal tinggi jika anda berhasrat untuk menjual pada masa akan datang.

10 : Arah kiblat jangan menghala ke tandas

Aspek ini penting buat pemilik rumah beragama Islam. Seboleh-bolehnya sebelum membeli, periksa dahulu arah kiblat dalam rumah dengan menggunakan aplikasi Muslim Pro. Elakkan membeli unit yang arah kiblatnya menghala ke tandas. Jika dah terlajak beli, letakkan penghalang.

11 : Elak kedudukan dapur di depan

Kebanyakan dapur di rumah moden ketika ini terletak di kedudukan depan rumah. Buka pintu depan rumah sahaja, dah nampak dapur. Konsep rumah sebegini agak kurang sesuai bagi keluarga Melayu Islam memandangkan dapur boleh dianggap kawasan private bagi wanita. Tapi semuanya terpulang kepada cita rasa anda. Kalau anda suka, boleh sahaja beli.

12 : Pilih unit yang mempunyai tandas dalam bilik

Ada sesetengah unit rumah mempunyai tandas di dalam bilik. Ada juga yang berada di luar bilik. Sebaik-baiknya pastikan rumah anda mempunyai satu ruang bilik yang mempunyai tandas di dalamnya untuk kegunaan anak perempuan yang memerlukan lebih privasi.

13 : Pilih unit corner lot

Adatlah bila beli rumah teres, unit corner lot pasti menjadi rebutan. Kadang-kadang orang sanggup beli rumah teres corner lot mahal-mahal berbanding beli rumah semi-D. Semuanya sebab unit corner lot ada tanah tambahan. Sesuai untuk dijadikan ruang bercucuk tanam atau riadah. 

14 : Dekat dengan masjid atau surau

Sebagai orang Islam, pastikan taman perumahan yang kita nak beli mempunyai kemudahan masjid atau surau yang berdekatan. Ini supaya kita rajin solat berjemaah. Cuma jika anda risau dengan kesesakan semasa solat Jumaat, elakkan pilih unit rumah yang berada terlalu dekat dengan masjid. 

15 : Periksa kewujudan serangga perosak

Memandangkan rumah teres ini berada pada aras tanah, adalah penting untuk anda periksa jika terdapat kewujudan serangga perosak. Walau sedikit pun. Contohnya seperti semut, anai-anai, tikus, nyamuk dan ulat gonggok. Jika ada, elakkan beli. Jika anda tiada pilihan lain, pastikan anda melabur sedikit kos untuk kerja-kerja menghalau makhluk perosak ini.

Kesimpulan

Rumah teres mungkin agak mahal dalam pasaran hartanah Malaysia sekarang. Tetapi jika anda berkemampuan, ia boleh menjadi ‘syurga’ untuk keluarga anda – terutamanya jika mematuhi 15 tips di atas.

Sumber :

15 TIPS BELI RUMAH TERES TAHUN INI.Ni berdasarkan pengalaman Ahyat.. Rumah teres ni adalah antara jenis rumah yg…

Posted by Ahyat Ishak on Rabu, 26 Ogos 2020

hartabumi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

Compare