News Detail

JENIS-JENIS GERAN HARTANAH YANG PERLU ANDA KETAHUI.

JENIS-JENIS GERAN HARTANAH YANG PERLU ANDA KETAHUI.

1. Selalu saya dengar dialog berikut “Ehh.. kenapa saya punya geran tulis Hakmilik Sementara, awak punya Geran Negeri? Saya punya ni bukan geran ker? Kenapa sementara pulak? Macam mana cara saya boleh dapat “geran” macam awak dapat?”

2. Memang ada pelbagai jenis geran dan ramai pun yang tak tau jenis-jenis geran ni. Sebab geran-geran ni ada kaitan dengan hakmilik, pegangan dan pengukuran halus ke atas hartanah.

3. Secara asasnya, bila pemberimilikan hartanah diluluskan, ia akan diberikan samada kepada Hakmilik Pentadbir Tanah atau Hakmilik Pendaftar Negeri.

4. Hakmilik Pentadbir Tanah diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Desa bawah 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah & Daerah (PTD).

5. Hakmilik Pendaftar Negeri diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Bandar atau Tanah Pekan atau Tanah Desa berkeluasan lebih 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

6. Semua geran awal yang diberi kepada pemilik ini belum diukur halus. Sebab itu dinamakan Hakmilik Sementara. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pentadbir Tanah, ia disebut HSM. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pendaftar Negeri ia disebut HSD.

7. Jika diikutkan, geran-geran ini perlu diberikan hakmilik muktamad (final title) iaitu hakmilik yang telah diukur halus. Tetapi memandangkan proses untuk mengeluarkan geran yang telah diukur halus mengambil masa yang lama, maka sebab itulah dikeluarkan dahulu geran Hakmilik Sementara.

8. Dengan geran Hakmilik Sementara ini, pemilik hartanah boleh segera berurusniaga seperti menjual, memajak, menggadai dan sebagainya.

9. Tujuan ukur halus adalah untuk mendapatkan ukuran muktamad keluasan satu-satu hartanah berkenaan. Kebiasaannya, akan berlaku perubahan luas kepada hakmilik sementara apabila diukur halus untuk mendapatkan hakmilik muktamad (final title). Perbezaan ukuran ini akan menyebabkan pengurangan atau penambahan kepada cukai tanah pemilik tersebut.

10. Hakmilik muktamad (final title) ini pula diperlukan jika satu-satu pembangunan hendak dilaksanakan di atas tanah berkenaan. Ia bagi memastikan binaan bangunan yang didirikan berada betul-betul di dalam sempadan lot tersebut dan tidak memasuki lot bersebelahan.

11. Hakmilik-hakmilik yang telah diukur halus dan diberikan hakmilik muktamad (final title) akan diberikan nama geran yang berbeza seperti dalam rajah ditunjukkan.

12. Jika hakmilik Pentadbir Tanah pegangan freehold, ia dinamakan Geran Mukim. Sebaliknya, jika pegangan leasehold, ia dinamakan Pajakan Mukim).

13. Jika hakmilik Pendaftar Negeri pegangan freehold, ia dinamakan Geran Negeri. Sebaliknya, jika pegangan leasehold, ia dinamakan Pajakan Negeri.

14. Jadi, lepas ni jangan keliru jika “geran” awal yang diberikan kepada pemilik adalah Hakmilik Sementara. Ia tetap geran. Hanya tunggu masa sahaja ia ditukarkan kepada hakmilik muktamad.

Kredit Jusni Hashim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

Compare